CUBALAH MAIN.... BEST!!!!

05 November 2009

PIALA MALAYSIA 2009

Kelantan dan Negeri Sembilan kini memburu pengiktirafan tertinggi dalam kancah saingan bola sepak tempatan apabila turun beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kedua-kedua pasukan kini semakin bersemangat dan teruja untuk menjulang edisi ke-84 piala berprestij itu sejak ia mula diperkenalkan pada 1921, iaitu 88 tahun lepas.

Untuk rekod, Kelantan belum pernah menjulang piala itu walaupun pernah beraksi pada dua perlawanan akhir, 1955 dan 1970 manakala Negeri Sembilan lebih bernasib baik apabila pernah menjulangnya pada 1948 ketika ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Walaupun Kelantan dilihat mempunyai kelebihan dan menjadi pilihan banyak pihak untuk menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir Sabtu ini, peluang Negeri Sembilan juga tidak harus dinafikan.

Jurulatih Kelantan, B.Sathianathan sendiri mengakui betapa Negeri Sembilan mempunyai kekuatan tersendiri kerana mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Syukor Adan, Hairuddin Omar, Mohd Rezal Zambry Yahya dan Idris Karim.

"Kekuatan mereka pasti bertambah dengan percaturan pemain-pemain muda yang berbakat seperti S.Kunalan, Shahruin Abu Samah, Mohd Zaquan Adha dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Malah jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan sendiri telah bersama-sama dengan pasukan itu selama tiga tahun, jadi mereka kenal antara satu sama lain dengan rapat," katanya ketika ditemui semasa sesi bertemu peminat pemain Kelantan pada Khamis.

Sathianathan bagaimanapun berkata Kelantan juga telah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan akhir itu dengan semua pemain cergas sepenuhnya kecuali pemain pertahanan, Mohd Azlan Zainal yang cedera sebelum ini.

"Selain Mohd Azlan, semua pemain lain kini berusaha keras untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama," kata bekas jurulatih kebangsaan itu yang pernah membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan menjulang Piala Pestabola Merdeka pada 2007.

Sathianathan yang dilantik menggantikan Peter James Butler bagi saingan Piala Malaysia pastinya akan memafaatkan sepenuhnya dua pemain berpengalaman iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Mohamad yang masing-masing telah menjaringkan 10 dan 7 gol dalam saingan Piala Malaysia.

Sathianathan juga turut menolak tanggapan bahawa bilangan penyokong Kelantan yang ramai yang dianggarkan melebihi 60,000 orang akan memberi tekanan kepada pemainnya.

"Bilangan penyokong yang berpuluh ribu itu bukan sesuatu perkara yang baru kepada Kelantan kerana di mana-mana pun kita bermain, penyokong-penyokong ini tetap hadir memberikan sokongan.

"Apa yang penting apabila memasuki perlawanan akhir pemain-pemain perlu 'enjoy' dengan permainan malah rekod pertemuan menentang Negeri Sembilan sebelum ini juga sekadar rekod sahaja," katanya.

Kelantan dan Negeri Sembilan sepanjang musim ini pernah bertemu empat kali iaitu dua perlawanan Liga Super yang menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin itu memenangi kedua-duanya dengan keputusan 2-1 dan 2-0.

Namun, Kelantan berjaya membalas dendam apabila menyingkirkan Negeri Sembilan pada separuh akhir Piala FA yang dijalankan secara timbal-balik dengan keputusan 2-2, namun Kelantan mara dengan kiraan gol di tempat lawan.

Sementara itu, Wan Jamak berkata kekuatan skuad 'The Red Warriors' terletak kepada penyokong setianya yang mengikut pasukan berkenaan ke mana-mana sahaja.

"Kelantan juga dibarisi dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd Khalid Jamlus dan Norfarhan Mohammad.

Tanpa menafikan peluang pasukannya untuk menamatkan penantian 61 tahun itu, Wan Jamak berkata kedua-dua pasukan sebenarnya memiliki peluang yang seimbang cuma pasukan mana yang mampu memafaatkan setiap peluang yang terhidang dan bermain dengan baik pasti akan menang.

"Aksi yang konsisten akan menjadi aset utama selain kekuatan mental dan disiplin yang tinggi di kalangan pemain Negeri Sembilan.

"Saya juga sentiasa mengingatkan mereka supaya memiliki mental yang kuat sebagaimana yang pernah dilakukan ketika memenangi perlawanan separuh akhir Piala FA, pusingan pertama di Kota Bharu walaupun berhadapan dengan ribuan penyokong lawan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

K0mEn...


MIOU